Monday, September 1, 2008

MENGAPA DIBUNUH SEMUA SEMUT ITU?

Kisah bermula dengan pengembaraan seorang abid dengan anak muridnya. Setelah lama berjalan akhirnya mereka tiba di sebuah kampung yang agak sunyi dan tiada berpenghuni, kelihatannya seperti baru lepas dilanggar garuda, di suatu sudut kelihatan banyak rumah yang musnah, bangkai-bangkai ternakan dimana-mana dengan bau busuk yang menusuk, serta tanaman-tanaman yang mati, Maka bertanyalah anak murid kepada si abid, "Mengapa begini keadaannya kampung ini? teruk sekali suasananya..."Maka berkatalah si abid, "Ketahuilah oleh mu bahawa kampung ini serta penduduknya telah menerima kemurkaan daripada Allah SWT..." "Mengapa tuan guru?" si anak murid benar-benar ingin tahu... "Terdapat seorang penduduknya yang sering melakukan kemaksiatan dan lalai dalam mengerjakan suruhan yang telah difardukan kepadanya, penduduk yang lainnya pula tidak pernah langsung menegur atau menasihatinya supaya kembali ke jalan yang benar..." terang si abid tersebut. Berkerutlah dahi si anak murid dan berkata "Mengapa begitu kejam sekali? Hanya seorang yang melakukan kesilapan dan akibatnya ditanggung oleh semua!" getus si anak murid. Si abid hanya merenung sambil tersenyum, dan tiada jawapan membidas kata-kata anak muridnya. Mereka meneruskan perjalanan dan akhirnya mereka berhenti berehat di bawah sepohon pokok yang rendang. Akibat terlalu penat si anak murid terlelap, dan takkala sedang enak dibuai mimpi indah tanpa disedarinya kakinya dihurungi beberapa ekor semut dan seekor daripadanya menggigit kaki si anak murid. Maka melompatlah si anak murid dalam kesakitan ditambah dengan rasa berang kerana tidurnya diganggu, dengan rasa geram dikibaskan kakinya dan dibunuh kesemua semut yang menghurung kakinya tadi... "Rasakan!" getus hatinya. Si abid melihat perilaku anak muridnya dan sambil tersenyum sinis si abid bertanya, "Mengapa dibunuh kesemua semut itu? Bukankah yang menggigit kaki kamu itu cuma seekor saja?" terdengar saja pertanyaan si abid, si anak murid teringat akan kata-katanya tadi dan tertunduk malu...

No comments: